Sunday 9 December 2012

TIPS MENGURANGKAN BERAT BADAN SELEPAS BERSALIN





1) Elakkan penurunan berat badan yang cepat
Apabila berat badan anda berkurangan dengan cepat, kebiasaannya badan anda hanya kehilangan glikogen (karbohidrat) dan air, bukannya lemak. Badan anda akan menghantar isyarat ke otak yang anda sedang kebuluran dan mengurangkan kadar metabolik, sekaligus melambatkan badan membakar kalori.
2) Gantikan makanan, bukannya elakkan terus
Cuba gantikan makanan kegemaran anda yang tinggi lemak, gula atau garam dengan yang kurang lemak, gula atau garam. Sebagai contoh, gantikan Coke biasa dengan Diet Coke yang kurang gula, susu lemak tinggi dengan susu kurang lemak. Penukaran sebegini tidak akan menjejaskan keinginan untuk makan makanan kegemaran anda secara drastik walau pun pengambilan kalori telah berkurangan.
3) Minum banyak air
Banyakkan minum air putih dan air soya untuk menggantikan air bergas. Air bergas boleh menambahkan kalori anda sebanyak 360 kJ sehari.
4) Banyakkan pergerakan
Banyakkan bergerak dan bersenam akan membakar kalori anda yang berlebihan. Banyak cara untuk anda bersenam termasuklah dengan jogging, pergi ke gim dan sebagainya. Anda juga boleh selitkan aktiviti fizikal dalam kehidupan harian anda dengan berbasikal ke tempat kerja, menggantikan lif dengan menaiki tangga, berjalan ke kedai makan atau pun membuat sit-up sambil menonton TV.
Pakar kesihatan menyarankan anda bersenam 30-45 minit 3-5 kali seminggu. Mungkin agak sukar untuk anda memulakan senaman sehingga 45 minit sehari. Apa kata mulakan dengan 10 minit, 3 kali sehari supaya anda tidak terlalu memaksa diri anda dan yang paling penting, disiplinkan diri untuk melakukannya setiap hari. Bagi para ibu, jangan jadikan sibuk sebagai alasan anda, tetapi cuba cari masa walau pun sebelum tidur untuk melakukan aktiviti fizikal.
5) Mulakan sedikit demi sedikit
Mulakan program penurunan berat badan anda dengan perubahan sedikit demi sedikit dan bukannya secara drastik. Kurangkan sedikit demi sedikit pengambilan makanan tinggi kalori dan gantikan dengan makanan yang berkhasiat. Gantikan minuman manis dengan air putih. Perubahan kecil kebiasaannya akan lebih berkekalan berbanding perubahan yang drastic.
6) Jangan terlebih makan
Pernah dengar ke sunah Rasulullah S.A.W. yang mengunyah perlahan-lahan dan berhenti makan sebelum kenyang? Cuba amalkan dan anda akan melihat perubahannya. Makan sedikit tetapi kerap.
7) Jangan sekat makanan tinggi kalori sepenuhnya
Anda berazam untuk tidak akan menyentuh makanan berlemak lagi! Jangan buat begitu kerana badan anda masih memerlukan lemak tetapi dalam sukatan yang betul dan bukannya berlebihan. Cuba seimbangkan makanan anda dengan sesuatu yang berkhasiat.
8) Kesan jangka masa panjang
Diet singkat dan rutin senaman yang tidak tetap biasanya tidak akan berkekalan. Rancang program penurunan berat badan secara realistik yang mampu anda turuti dan bukan secara drastik. Rekodkan segala perubahan menu, aktiviti fizikal dan apa jua yang anda rasakan berubah termasuk fizikal, emosi dan tahap kesihatan anda. Pastikan program anda bersesuaian untuk jangka masa panjang dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam!
9) Fokus pada sihat, bukannya kurus
Kebanyakan individu yang berjaya mengurangkan berat badan dalam jangka masa panjang akan mengubah objektifnya daripada ingin menjadi kurus kepada ingin menjadi sihat. Tetapkan pemikiran anda dengan memilih makanan yang boleh memberikan nutrient dan khasiat yang optima kepada badan anda. Untuk panduan, rujuk piramid makanan!
10) Atasi tekanan emosi
Emosi yang bercelaru dan tidak stabil boleh menyebabkan anda teruja untuk makan. Cari cara lain untuk mengatasinya dengan meluahkan masalah kepada orang yang rapat dengan anda atau kaunselor. Lakukan juga aktiviti yang boleh menggembirakan anda supaya tekanan anda diatasi.
11) Motivasi
Sokongan dan motivasi merupakan salah satu daripada kunci utama dalam proses untuk menurunkan berat badan. Dapatkan sokongan daripada orang tersayang dan dapatkan nasihat pakar dietitik supaya anda melakukan program diet yang betul dan penuh semangat!

SEKS SELEPAS BERSALIN




Mengikut tradisi orang Melayu, berpantang bagi ibu selepas bersalin yang paling baiknya adalah 100 hari. Bagi sesetengah orang, 100 hari itu dimaksudkan dengan tempoh berpantang untuk tidak bersama suami, manakala pemakanan harus dikawal secara ketat sehingga 40 hari yang pertama.
Selepas bersalin, ibu biasanya akan mengalami perkara-perkara berikut:
  • Trauma dengan proses kelahiran – Bayi yang keluar melalui vagina wanita akan menyebabkan tisu vagina yang lembut luka. Apatah lagi, yang digunting (episiotomi) dan dijahit. Luka ini akan mengambil masa sehingga berminggu-minggu untuk sembuh sepenuhnya.
  • Perubahan hormon dan emosi – Kelahiran anak akan membawa perubahan yang besar dalam hidup. Penjagaan anak dan proses berpantang akan sedikit sebanyak membawa tekanan emosi kepada ibu. Ditambah lagi dengan perubahan hormon yang akan mempengaruhi emosi dan keinginan seksual ibu.
  • Perubahan fizikal – Jarang wanita lepas bersalin merasa seksi kerana bentuk fizikal yang mengalami perubahan ketara seperti tubuh yang makin berisi, menggeleber, kulit perut merekah dan badan berjerawat. Ibu merasakan dirinya tidak menarik lagi.
Jadi, adalah penting untuk pasangan suami isteri peka dan bersedia untuk menghadapi masalah seksual yang akan timbul 6 bulan pertama selepas kelahiran anak. Kesabaran yang tinggi sokongan amat penting untuk ditonjolkan oleh suami kerana bukan senang untuk mengandung dan melahirkan.
Apa yang terjadi kepada keinginan seksual wanita selepas bersalin?
Kebanyakan wanita tiada keinginan untuk bersetubuh sekurang-kurangnya beberapa minggu selepasa bersalin kerana kesakitan dan keletihan. Jika proses kelahiran adalah lama dan sukar, wanita mungkin takut untuk mengandung lagi jika melakukan hubungan seks. Perubahan hormon dan kerisauan juga mempengaruhi keinginan seksual wanita selepas bersalin yang akan menyebabkan kekeringan faraj. Ini biasa berlaku dalam tempoh 3 bulan pertama selepas kelahiran.
Kebiasaannya, wanita akan mempunyai keinginan seksual selepas beberapa bulan bersalin. Jika tidak, dapatkan nasihat daripada doktor untuk mengatasi masalah ini.
Adakah kelahiran bayi akan menjejaskan hubungan seks?
Sudah semestinya! Kebanyakan ibu dan bapa yang baru menimang cahaya mata akan keletihan kerana tidur yang tidak mencukupi. Keadaan ini mungkin akan berlanjutan beberapa bulan atau mungkin bertahun. Dalam tempoh masa ini, suami akan merasakan dirinya disisihkan dan segala tumpuan diberikan kepada bayi. Tak mustahil juga jika suami akan merasa cemburu dengan bayinya.
Walau bagaimana pun, kebanyakan suami akan menghargai isterinya apabila melihat sendiri proses kelahiran. Suami dapat menyaksikan sendiri betapa besarnya pengorbanan isteri yang bersabung nyawa untuk melahirkan anaknya. Pengalaman tersebut akan menyebabkan suami menjadi lebih bertolak ansur dalam semua perkara dan menjadi titik tolak bermulanya fasa baru dalam perkahwinan.
Terdapat juga sesetengah lelaki yang berasa tertekan dengan proses kelahiran yang disaksikan. Mereka berasa sangat bersalah dan kesian dengan isteri sehinggakan tidak sanggup memikirkan untuk melakukan hubungan seks lagi. Suami yang terlalu obses dengan pemikiran ini sehingga menyekat hubungan seks dilakukan walaupun isterinya sudah pulih harus mendapatkan nasihat kaunselor. Tapi, selalunya pemikiran untuk tidak melakukan hubungan seks ini akan beransur hilang walaupun rasa bersalah dan kesian masih menebal.
Faktor-faktor tersebut boleh mewujudkan kerenggangan suami isteri. Bagi mengembalikan keharmonian rumah tangga, pasangan suami isteri harus mempunyai kepercayaan dan menghargai pasangan masing-masing. Sifat sabar dan bertolak ansur memainkan peranan yang penting bagi memahami kehendak masing-masing. Suami isteri boleh melibatkan anak dalam perkara yang dilakukan bersama supaya kehadiran anak akan mengembalikan rasa bahagia. Dengan cara ini juga boleh menyedarkan suami isteri tentang tanggungjawab baru mereka sebagai ibu dan ayah dan peranan ini memerlukan kerjasama yang kukuh.
Bila masa yang sesuai untuk hubungan seks?
Secara amnya, sebaik-baiknya masa yang sesuai bagi wanita selepas bersalin untuk melakukan hubungan seks adalah selepas pemeriksaan yang akan dilakukan lebih kurang 4-6 minggu selepas bersalin. Dalam tempoh 4-6 minggu tersebut, anda tidak digalakkan untuk melakukan hubungan seks kerana organ reproduktif seperti faraj dan rahim masih belum pulih sepenuhnya. Tambahan lagi apabila jahitan pada vagina belum sembuh serta darah nifas masih belum kering. Hubungan seks dalam tempoh tersebut boleh mengakibatkan jangkitan kuman dan menyebabkan proses penyembuhan organ reproduktif mengambil masa yang lebih lama. Kebiasaannya, selepas 6 minggu, rahim akan kembali mengecut seperti sediakala dan luka jahitan sudah sembuh.
Apabila anda suami isteri sudah bersedia untuk melakukan hubungan seks, lakukan dengan hati-hati dan lembut. Carilah masa yang sesuai di mana anda tidak terlalu letih dan anak anda tidur dengan lena.

Seks dalam pantang

Menurut kajian yang telah dilakukan, seks yang dilakukan selepas bersalin (dalam tempoh berpantang) boleh menyebabkan embolisma udara yang menyebabkan kematian. Embolisma udara dalam faraj akan berlaku apabila seks oral dilakukan oleh pasangan anda terhadap anda. Udara yang ditiup masuk ke dalam faraj akan masuk ke dalam rahim dan seterusnya masuk ke dalam salur darah. Kesannya boleh membawa kepada KEMATIAN yang pernah dilaporkan terutamanya di negara-negara barat.
Itulah pentingnya mengikut panduan yang digariskan dalam Islam dalam konteks hubungan seks. Rupanya perkara yang tidak digalakkan oleh Rasulullah boleh membawa akibat yang buruk. Jadi, penting bagi suami isteri memahami garis panduan dalam melakukan hubungan seks kerana hubungan seks yang baik akan menjurus kepada kesihatan yang baik.

Saturday 8 December 2012

Bagaimana saya tahu saya sudah mahu bersalin?


Bagaimana saya tahu saya sudah mahu bersalin?

Simpton mahu bersalin adalah berbeza untuk setiap wanita dan menentukan titik mulanya adalah mustahil. Ia adalah satu proses apabila perubahan fisiologi dalam badan anda bekerjasama untuk membantu kelahiran bayi. Jika anda memang mahu bersalin, satu atau lebih daripada lima perkara berikut akan berlaku: 
  • Serviks anda akan menjadi nipis dan lebih lembut (pemendekkan) dan mengembang sehingga 10sm.
  • Kontraksi berlaku pada jarak waktu yang lebih pendek dan kerap, dan menjadi lebih lama dan lebih sakit.

  • Anda mungkin akan mengalami sakit di sebelah bawah belakang dan kekejangan seperti kekejangan prahaid.
  • Anda boleh lihat sedikit darah (lelehan mukus berwarna kecoklatan atau bercampur dengan darah). Jika ia melepasi penyekat mukus yang menyekat serviks, anda berada di ambang pelahiran atau mungkin dalam masa beberapa hari lagi. Walau bagaimanapun, ia adalah tanda yang anda menuju ke arah itu.

  • Air ketuban anda pecah tetapi hanya jika diikuti dengan kontraksi.

Bila saya perlu menghubungi doktor saya?

Anda dan doktor anda mungkin telah berbincang mengenai apa yang perlu dilakukan apabila anda dalam pelahiran. Tetapi jika anda rasa bahawa telah tiba masanya, jangan malu untuk menghubungi doktor anda. 

Doktor selalu mendapat panggilan daripada wanita yang kurang pasti sama ada mereka berada dalam keadaan perlahiran atau tidak dan mereka yang memerlukan panduan. Ia adalah sebahagian daripada tugas mereka. Doktor anda boleh tahu dari nada dan intonasi suara anda, jadi komunikasi lisan akan membantu. Doktor anda perlu tahu jarak masa kontraksi anda, sama ada anda boleh bercakap semasa kontraksi dan sebarang simptom yang ada. 

Jika air ketuban anda pecah atau jika anda merembeskan cecair amnion, hubungi doktor anda dengan segera. Anda perlu memberitahunya jika bayi anda kurang bergerak atau sama ada anda mengalami sebarang pendarahan vagina (kecuali jika ia hanya mukus bercampur darah dalam jumlah yang sedikit), demam, sakit kepala yang teruk, perubahan dalam penglihatan anda atau kesakitan abdomen

BabyCenter mempunyai senarai simptom kehamilan yang lain yang tidak boleh anda abaikan sekiranya terdapat perkara lain yang merisaukan anda. 

Apa yang perlu saya lakukan pada awal pelahiran?

Semasa awal pelahiran, adalah penting untuk minum banyak cecair. Selang-selikan di antara berjalan dan berehat atau cuba mengambil mandian panas untuk melegakan sebarang kepedihan dan kesakitan. Jika boleh, cuba berehat sebagai persediaan untuk pelahiran nanti. 

Bolehkan saya mengalami kontraksi tetapi bukan dalam pelahiran?

Ya. Anda mengalami pelahiran palsu jika serviks anda tidak mengembang (doktor anda akan memberitahu anda semasa pemeriksaan), kontraksi adalah tidak menentu dan tidak begitu kuat dan sebarang kesakitan yang anda rasa di bahagian abdomen atau belakang mudah dilegakan dengan mandian panas atau urutan. 

Seorang ibu yang kami kenali mengalami kontraksi yang kuat selama tiga hari sebelum dia betul-betul dalam pelahiran. Walaupun kontraksinya adalah sakit, ia berlaku tidak menentu dan tidak boleh dijangka, iaitu ia berlaku pada setiap lima minit, tujuh minit, lapan minit, kemudian lima minit dan akhirnya pada setiap lapan minit. Selepas air ketubannya pecah, dia menangis kelegaan, dengan harapan bahawa dia telah berada dalam pelahiran. Betul, dia memang dalam pelahiran. 

Bolehkan saya tahu jika pelahiran akan berlaku dalam masa terdekat?

Mungkin. Walaupun anda mungkin tidak sedar semua perkara yang berlaku, badan anda telah membuat persediaan bagi pelahiran sehingga sebulan sebelum pelahiran. Apabila pelahiran bermula, serviks telah mula mengembang dan menipis bagi sesetengah wanita. 

Tanda-tanda pelahiran yang lain termasuk:
  • ringan (apabila kepala bayi mula ke bawah di pelvis anda);
  • pertambahan lelehan vagina (walaupun selalunya memang terdapat pertambahan semasa kehamilan);
  • pendarahan sedikit (lelehan mukus berwarna kecoklatan atau bercampur darah);
  • kontraksi Braxton Hicks yang lebih kerap dan lebih kuat.


Read more: http://www.babycenter.com.my/a1029325/bagaimana-saya-tahu-bila-sudah-tiba-masa-bersalin#ixzz2ETdf1thd

BERPANTANG:BERTUNGKU



Bertungku dan berbengkung adalah asas kepada amalan-amalan pantang-larang bagi ibu baru dalam budaya Melayu. Sebelum berbengkung, wanita bertungku. 

Salah satu sebab utama bertungku ialah untuk mengecutkan rahim dan mengeluarkan darah beku. Darah dan lendir (lokia) mestilah mengalir keluar sepanjang tempoh pantang 44 hari mengikut kepercayaan Melayu. Rahim tidak akan bersih sepenuhnya jika darah berhenti awal dan ini mengugatkan kesihatan. Jadi, tujuan bertungku dan memakan jamu ialah untuk memastikan semua kotoran dan toksin dikeluarkan dari badan. 

Dikatakan bertungku juga:
  • memecahkan lemak;
  • mengecutkan rahim dan organ yang bengkak akibat bersalin;
  • mengembalikan semuanya kepada keadaan asal.
Rahim juga disengkak ke atas untuk mengelakkan daripada rahim jatuh dan penyakit tombong di usia tua. 

Bakarlah tungku dan balutlah dengan daun serai, lengkuas, pandan, dan lain-lain, kemudian lapitlah dengan kain. Bertungkulah selama sejam, tapi jika masa tidak mengizinkan, sekurang-kurangnya setengah jam. Tungkukan paha juga. 

Malah, di Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) Hospital Putrajaya dan Hospital Sultan Ismail di Johor Baru, amalan jagaan perbidanan termasuk urut selepas bersalin, bertungku dan berbengkung. Ibu-ibu baru yang melahirkan bayi secara normal di kedua-dua hospital ini boleh memilih untuk menerima jagaan dari Unit T&CM ini. 

Baca lebih lanjut mengenai amalan-amalan pantang selepas bersalin

Jika anda tidak pasti mengenai pendekatan yang betul untuk berpantang, atau hanya mahu beberapa tip tentang amalan-amalan pantang-larang, bincanglah dengan ibu-ibu lain! Komuniti ibu mengandung kami mungkin boleh membantu. 


Read more: http://www.babycenter.com.my/a1048845/berpantang-bertungku#ixzz2ETYYMsew

BERPANTANG:JAMU



Jamu adalah dianggap sebahagian yang penting dalam amalan-amalan berpantang. Adalah dipercayai bahawa jamu dan makanan yang betul boleh membantu ibu-ibu baru mendapatkan semula tenaga mereka dan menyembuhkan selepas kerja mengandung dan melahirkan anak. 

Jamu juga dikatakan berkhasiat untuk:
  • mengembalikan tenaga;
  • memanaskan badan;
  • mengeluarkan lemak dan toksin;
  • dan, melawaskan ke bilik air.
Mengikut Datin Sharifah Anisah, pengasas Nona Roguy (sekarang NR) dan penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu, apabila semua toksin keluar, badan akan berbau harum dan berat badan pun akan turun. Makan jamu selama 44 hari memastikan yang segala kotoran dan toksin keluar dari dalam badan. Segala organ, otot dan urat, juga, akan mengecut dengan jamu dan kandungan air berlebihan dalam badan akan keluar. Jamu membuang angin dan menghempiskan perut. 

Apa yang boleh dan tidak boleh saya makan?

Ibu atau ibu mertua anda, atau pembantu khas anda, akan menyarankan anda memakan jamu serta herba panas seperti halia. Bidan biasanya menggalakkan makan kunyit banyak-banyak sebagai ulam atau jus sebab ia berkhasiat untuk mengecutkan rahim. 

Anda mungkin juga digalakkan berpantang dari:
  • mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang "sejuk";
  • memakan hidangan berminyak;
  • meminum air ais atau minum secara berlebihan sebab perut yang kembang akan sukar untuk mengecut.

Di mana saya boleh mendapatkan jamu?

Mengikut tradisi, bidan kampung yang mengurut ibu baru dan menemani sepanjang tempoh pantang juga akan merumuskan jamu. 

Kini, selain menempahkan jamu khas dari bidan kampung, ibu moden boleh membeli set jamu cukup untuk tempoh pantang 44 hari. Jamu NR popular di Malaysia di samping Bidan Ratu, jamu Mak Dara dan jamu Afiat. Nyonya Maneer dan Mustika Ratu dari Indonesia juga digemari. 

Jika anda inginkan pendapat tentang jenama-jenama yang berbeza, atau tidak pasti mengenai pendekatan yang betul untuk berpantang, atau hanya mahu beberapa tip tentang amalan-amalan pantang-larang, bincanglah dengan ibu-ibu lain! Komuniti ibu mengandung kami mungkin boleh membantu. 

Read more: http://www.babycenter.com.my/a1048842/berpantang-jamu#ixzz2ETXm5cKg

Berpantang: Mandi-Mandian Herba Dan Akar Kayu Dan Amalan-Amalan Lain

bu baru yang mengamalkan pantang-larang sebenarnya membuat pilihan untuk mengikuti satu siri upacara dan sekatan diet selama 44 hari. Ini bertujuan untuk membantu dia pulih sepenuhnya kekuatan fizikal dan emosi selepas mengandung dan melahirkan anak. 

Mandi-mandian herba dan akar kayu

Satu komponen penting dalam amalan pantang-larang bagi ibu baru ialah mandi air rebusan herba, akar kayu dan rempah. Ia dipercayai akan:
  • mengembalikan kecergasan;
  • membuangkan angin;
  • menghilangkan bau hanyir;
  • merawat urat yang terputus
  • .

Menyediakan mandian herba

Ibu-ibu baru hari ini biasanya membeli set rumusan untuk dimasak di rumah. Anda boleh membelinya dari pusat-pusat penjagaan pantang (juga dipanggil pusat rawatan bersalin). 

Set mandian herba juga boleh dibeli sebagai sebahagian pakej yang termasuk penjagaan selepas bersalin, produk herba dan makanan tambahan, semua tersusun dan dijarakkan mengikut amalan-amalan dan jadual berpantang 44 hari. Beberapa pakej boleh merangkumi perkhidmatan bidan urut dan persediaan amalan-amalan pantang yang lain. 

Amalan-amalan berpantang yang lain

Terdapat beberapa amalan pantang-larang yang jarang diikuti hari ini, lazimnya kerana ibu baru di kota dan bandar kekurangan struktur sokongan tradisional dan masa untuk membolehkan mereka memerhatikan setiap aspek berpantang dengan sepenuhnya. 

Walau bagaimanapun, ada juga pakej dari pusat-pusat penjagaan pantang yang merangkumi amalan-amalan ini:
  • Cucian untuk bahagian sulit yang bertujuan untuk membersih, membunuh kuman dan juga menyembuh dan merapatkan vagina untuk kembali kepada keadaan asal.
  • Ada juga amalan rendaman faraj yang dikatakan efektif untuk menyembuhkan jahitan.
  • Minyak sapu digunakan di perut, di kaki dan lain-lain tempat yang terasa lenguh atau sakit. Ini menghilangkan angin, melegakan kesakitan dan melicinkan kulit.
  • Lulur digunakan untuk melicin, melembut, menyerah dan memutihkan kulit.
Lain-lain amalan seperti berdiang, bertangas dan pilis amat jarang dilakukan oleh wanita Melayu moden sebab kekangan tertentu. 

Baca lebih lanjut mengenai amalan-amalan berpantang selepas bersalin

Bagaimana saya boleh dapatkan penjagaan pantang yang baik?

Tanyalah orang yang lebih berpengalaman.
  • Tanya ibu anda atau ibu mertua, atau kawan yang baru melahirkan, atau rakan sekerja.
  • Bincanglah dengan ibu-ibu lain! Komuniti ibu mengandung kami mungkin boleh membantu.


Read more: http://www.babycenter.com.my/a1048839/berpantang-mandi-mandian-herba-dan-akar-kayu-dan-amalan-amalan-lain#ixzz2ETX9Fiq3

BERPANTANG: URUT MENGURUT




Mengikut tradisi, wanita Melayu yang baru bersalin dinasihatkan berurut sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut; kalau boleh lebih, lagi baik. 

Faedah urutan tradisional selepas bersalin

Mengikut Datin Sharifah Anisah, pengasas Nona Roguy (sekarang NR) dan penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu, urutan selepas bersalin akan:
  • melancarkan perjalanan darah;
  • mengeluarkan darah (lokia)yang terperangkap dan tertakung;
  • menaikkan rahim;
  • membetulkan urat tegang, terputus atau yang terkeluar dari tempatnya;
  • memecahkan lemak;
  • mengetat dan membentuk tubuh;
  • mempercepatkan proses pemulihan keseluruhan selepas kerja keras melahirkan anak.
Yang menariknya, urutan traditional selepas bersalin termasuk urutan di bahagian payudara juga, dengan kepercayaan ia akan melancarkan susu ibu. 

Malah, di Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) Hospital Putrajaya dan Hospital Sultan Ismail di Johor Baru, program kesihatan posnatal Melayu juga merangkumi urut payudara. Ibu-ibu baru juga diajar teknik ini supaya mereka dapat melakukannya di rumah. 

Ibu-ibu baru yang melahirkan anak mereka secara normal di hospital-hospital tersebut (unit T&CM ini tidak terdapat dalam mana-mana hospital kerajaan yang lain pada masa ini) boleh menikmati urutan tradisional sebagai sebahagian daripada jagaan perbidanan. 

Siapakah yang akan mengurutkan saya?

Mengikut tradisi, bidan kampung yang berpengalaman dalam semua aspek penjagaan ibu sebelum dan selepas bersalin akan pergi ke rumah ibu baru untuk mengurutnya dan membantu beliau menjaga bayi. 

Dalam persekitaran bandar hari ini, di mana banyak pasangan muda tinggal jauh dari keluarga masing-masing, sistem sokongan ini tidak lagi menjadi pilihan. 

Untuk mencari tukang urut yang baik, anda mempunyai beberapa pilihan.
  • Tanya ibu anda atau ibu mertua, rakan-rakan yang telah baru-baru ini mempunyai bayi atau rakan sekerja jika mereka tahu sesiapa sahaja yang baik.
  • Perkhidmatan pusat-pusat rawatan bersalin dan penjagaan dalam pantang yang menyediakan pakej lengkap dengan urut, bengkung dan jamu.
  • Forum ibu mengandung kami juga boleh memberi sedikit petunjuk.
Baca lebih lanjut mengenai amalan-amalan pantang yang lain

Read more: http://www.babycenter.com.my/a1048836/berpantang-urut-mengurut#ixzz2ETWbuMCy

BERPANTANG : BERBENGKUNG


Tidak boleh dinafikan betapa pahit-manisnya pengalaman berpantang bagi wanita Melayu yang baru bersalin. Tempoh pantang selama 44 hari adalah suatu masa yang amat menguji kesabaran. Namun begitu, amalan berpantang masih dilalui dengan tekun dan rela oleh sebilangan besar wanita Melayu. Sebabnya? Dikatakan wanita yang baru melahirkan anak dijamin akan mendapatkan kembali potongan badan yang asal, menjadi sihat dan cergas seperti sedia kala, kelihatan jelita dan mampu menarik minat suami. 

Terdapat beberapa amalan-amalan berpantang yang masih diamalkan secara meluas hari ini, tetapi berbengkung adalah amalan utama. 

Dimanakah mendapatkan bengkung?

Pada suatu masa dahulu, kain bengkung dijahit oleh seorang ibu bagi anaknya yang hamil. Kini, anda boleh membeli bengkung dan tak perlu menjahitnya seperti dahulu. Belilah dari Internet atau kedai-kedai tertentu. 

Anda boleh pilih antara tiga jenis bengkung:
  • 1. Bengkung barut yang sama seperti barut kanak-kanak.
  • 2. Bengkung Mia yang lebar dan diikat bersilang-seli dari bawah ke atas.
  • 3. Bengkung Jawa atau bengkung lilit yang merupakan kain lebar (sepanjang 15m) dililit kemas pada badan.

Pemakaian sempurna

Anda perlu memakai bengkung berkualiti tinggi yang boleh dipakai secara ketat sepanjang hari dan tidak terurai sampai masa mandi petang atau hari kemudiannya. Bengkung hendaklah dipakai sepanjang masa, siang dan malam (namun sekarang ada wanita yang memakainya untuk beberapa jam sahaja dalam sehari). 

Pastikanlah ia dipakai secara betul, iaitu bermula dari bawah, tutupkan semua abdomen, dan ikat sampai ke bahagian di bawah payudara

Mengikut Datin Sharifah Anisah Barakbah, pengasas Nona Roguy (sekarang NR) dan penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu, bengkung yang terlalu pendek atau tidak dipasang dengan betul akan menjejaskan pemulihan rahim sebab rahim akan tertolak ke bawah.
  • Lapitlah bengkung dengan kain buruk supaya tidak kotor, kemudian alaskan dengan daun-daunan seperti daun pandan atau lengkuas.
  • Sapukan minyak dengan ramuan rempah dan herba; sapu juga di bahagian belakang.
  • Jika sukar untuk mendapatkan daun-daunan herba, gunakanlah ubat krim bengkung yang boleh dibeli di kedai.

Faedah berbengkung

"Kehamilan dan pelahiran mengganggu badan wanita dan kesemua otot-otot, tulang, urat, sendi, dan lain-lain, sudah bertukar keadaan dan menjadi kembang dan bengkak disebabkan pengaruh hormon hamil," kata Datin Sharifah. "Bengkung boleh menghempiskan perut, mengecutkan rahim bengkak dan merapatkan vagina yang telah regang dan longgar." 

Ia juga dipercayai bahawa berbengkung juga boleh membantu:
  • mengempiskan perut dan mengurangkan berat badan supaya potongan badan kembali kepada bentuk asal;
  • melindungi organ dalaman dan membolehkannya lebih cepat kecut dan kembali ke tempat asal;
  • mengetatkan perut dan otot-otot yang longgar semasa kehamilan;
  • menggalakkan postur yang baik, justeru, membantu penyusuan bayi;
  • memecahkan lemak dan selulit;
  • mencegah dari makan berlebihan.
Sepatutnya, tidak hanya amalan berbengkung yang harus diikuti. Amala-amalan lain seperti urut, bertungku, jamu dan mandian herba melengkapkan amalan pantang larang. Dikatakan pantang yang diikuti dengan taat dan sempurna boleh membantu ibu baru mengurangkan berat badan serta mengimbangi paras hormon mereka. 

Baca lebih lanjut mengenai amalan-amalan berpantang selepas bersalin dan simptom selepas bersalin yang tidak boleh anda abaikan

Jika anda tidak pasti mengenai pendekatan yang betul untuk berpantang, atau hanya mahu beberapa tip tentang amalan-amalan pantang-larang, bincanglah dengan ibu-ibu lain! Komuniti ibu mengandung kami mungkin boleh membantu. 

Read more: http://www.babycenter.com.my/a1033521/berpantang-bengkung-#ixzz2ETVYnicy

BERPANTANG SELEPAS BERSALIN

Betapa pahit dan manisnya pengalaman berpantang bagi wanita Melayu yang baru bersalin. Walaupun tempoh pantang selama 44 hari adalah suatu masa yang amat menguji kesabaran, boleh dikatakan sebilangan besar wanita Melayu masih tekun dan rela mengikut tradisi ini. Dikatakan wanita yang rajin berpantang dijamin akan mendapatkan kembali potongan badan yang asal, menjadi sihat dan cergas seperti sedia kala, kelihatan jelita dan mampu mengekal minat suami. 

Sesungguhnya, amalan-amalan pantang adalah satu proses menyeluruh, bertujuan untuk memeliharakan kesihatan dan kewanitaan perempuan Melayu. Mengikut Datin Sharifah Anisah Barakbah, pengasas Nona Roguy (sekarang NR) dan penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu, kepercayaan berpantang berpaksikan kepada penyembuhan rahim yang dikatakan merupakan "penyawa" wanita yang menentukan kesihatan diri keseluruhan. Rahim yang sihat menghasilkan ibu yang kelihatan berseri dan menarik pada pandangan. Tidak hairanlah jika wanita Melayu masih berpegang kepada amalan berpantang. 

Disamping itu, ada kajian moden yang menyokong peranan yang dimainkan oleh bidan kampung yang mendamping ibu selepas bersalin. Kajian juga mendapati yang beberapa amalan pantang-larang ada kebaikannya. Antaranya, perlanjutan tempoh penyusuan ibu, larangan atas pergerakan ibu yang berlebihan dan urut-mengurut. 

Pakar-pakar antropologi menerangkan bahawa asas amalan pantang-larang kaum Melayu berlandaskan teori empat elemen berkurun dahulu. Elemen-elemen itu ialah:
  • tanah, yang bersifat kering;
  • api, bersifat panas;
  • udara, sejuk;
  • dan, air, bersifat basah.
Elemen-elemen ini mestilah berada dalam keadaan seimbang pada badan seseorang. 

Ilmu perbidanan juga dikatakan satu anugerah Tuhan bagi individu dan keluarga yang terpilih sahaja, dengan tujuan supaya mereka membantu wanita dari semua lapisan masyarakat. Bidan kampung dianugerahkannya bagi membantu wanita desa. 

Kini, wanita Melayu di bandar tidak dapat melakukan kesemua pantang-larang sebab tiada keluarga dan masyarakat keliling untuk menyokong seperti kehidupan masyarakat di kampung dahulu. Mengikut tradisi, ibu baru akan dibantu dan ditemani oleh:
  • bidan kampung;
  • pengasuh khusus;
  • emak sendiri atau ibu mertua.
Memang diakui bahawa tanpa orang lain membantu, ia akan sukar untuk mengamalkan pantang dengan lengkap dan sempurna selama 44 hari. 

Namun begitu, beberapa amalan utama masih banyak dipraktikkan oleh wanita Melayu. Baca lebih lanjut mengenai:

Read more: http://www.babycenter.com.my/a1033518/berpantang-selepas-bersalin#ixzz2ETRJTmbD

Friday 7 December 2012

Panduan Penjagaan Ibu Bersalin Secara Pembedahan




Kelahiran secara pembedahan (Caesarian) sudah menjadi sesuatu yang biasa pada masa kini. Ada yang terpaksa melaluinya kerana masalah posisi bayi ataupun bentuk tulang kajang yang sempit dan sukar memberi laluan kepada bayi untuk dilahirkan secara normal.

Ada juga ibu-ibu hamil membuat pilihan bersalin secara pembedahan kerana mahu mengelakkan rasa sakit mengisi ketuban. Tidak kurang pula yang memilihnya kerana beranggapan bersalin dengan cara tersebut dapat memelihara serta mengekalkan keadaan saluran vagina supaya tidak longgar.

Akibat kedangkalan pengetahuan berkaitan dunia kehamilan dan kelahiran, ramai ibu yang bersalin secara pembedahan tidak mengambil berat tentang penjagaan ketika dalam pantang. Walaupun bayi dilahirkan tanpa melalui pintu rahim atau faraj, keadaan rahim tetap bengkak, malah lebih serius akibat luka-luka pembedahan yang dilakukan ke atasnya. Luka-luka itu bukan sahaja di bahagian rahim tetapi juga lapisan demi lapisan kulit yang dibelah. Oleh yang demikian, penjagaan ibu bersalin dengan kaedah ini selalunya mengambil masa yang lebih lama. Dengan itu, tempoh pantangnya juga lebih panjang daripada ibu-ibu yang bersalin secara normal.

Ibu yang bersalin secara pembedahan perlu menjaga pantang pemakanan selama 100 hari dan pantang berjimak sekurang-kurangnya 50 hari. Petua-petua ini sangatlah penting diamalkan dengan tekun kerana keberkesannya telah terbukti. Amalan berpantang dapat mempertahankan kesegaran ujud anggota seseorang wanita agar kembali awet muda. Rata-rata telah terbukti bahawa ibu-ibu pengamal herba dan rawatan tradisional tampak lebih sihat serta anggun daripada gadis!.

Penjagaan Dan Rawatan Luaran

Mereka yang bersalin secara pembedahan lebih mudah mengalami masalah pengumpulan dan penyekatan angin, atau banyak angin. Akibatnya tubuh menjadi lembik, kendur dan tidak mantap walaupun melakukan banyak senaman. Mungkin secara fizikal kelihatan cantik serta langsing, tetapi otot dan sendi lazimnya mengalami penyakit angin sejuk atau panas seperti artritis, kebas-kebas sendi dan reumatisme. Saluran sulit menjadi longgar, kurang daya kemutan, berair atau terlalu kering dan mudah berpenyakit keputihan yang boleh menyebabkan hakisan mulut rahim dan ketumbuhan kecil seperti sista atau polip.

Lazimnya ibu yang melahirkan secara pembedahan lambat mendapat bentuk badan yang asal, terutama di bahagian perut dan pinggang. Untuk itu, rawatan secara tradisional harus dilakukan dengan sempurna dan teratur agar dapat mengembalikan keadaan ibu balik perawan. Amalan ini adalah untuk mengelakkan daripada bentan urat peranak serta keracunan luka pembedahan. Minuman herba juga dapat mempercepatkan proses penyembuhan. Ibu dalam pantang bersalin pembedahan perlu mengikut pantang larang pemakanan sebagimana ibu bersalin normal.

Panduan Cucian Bahagian Sulit

Ibu bersalin secara pembedahan perlu mengamalkan cucian di bahagian sulit sebagaimana ibu-ibu yang melahirkan secara normal. ini kerana walaupun tiada luka jahitan, ibu-ibu tetap mengalami keluaran darah nifas. Penjagaan kebersihan serta kesihatan diri adalah amat penting bagi mengelakkan jangkitan kuman, bau busuk atau hanyir di bahagian sulit, selain menjaga kesegaran tisu-tisu faraj.

Panduan Rawatan Tuaman Batu Atau Besi

Rawatan tuaman dan berbengkung dapat memecahkan angin dan lendir serta melancarkan aliran darah. Sebaik-baiknya tuaman dilakukan dua kali sehari pada waktu pagi sebelum masuk tengahari dan pada sebelah petang selepas waktu zuhur. Rawatan tuaman dilakukan ke atas seluruh badan, termasuk di bahagian perut serta luka pembedahan dengan hanya meletakkan batu tuam atau tungku besi secara lembut tanpa perlu menekan atau mencungkil urat.

Panduan Mandian

Sebelum mandi, lakukan rawatan berlulur seperti mana ibu bersalin normal. Selepas itu, lakukan mandian dengan air rebusan daun-daun yang mudah didapati pada masa kini.

Panduan Berbarut Atau Berbengkung

Ibu dalam pantang bersalin secara pembedahan perlu mempraktikkan rawatan berbengkung atau berbarut yang ringan ikatannya, atau boleh juga mengenakan strap on binder. Pemakaiannya harus dimulakan pada hari yang berikutnya selepas bersalin.

Mula-mula sapu minyak urut herba di bahagian perut dan di atas jahitan, di bahagian pinggang serta pinggul. Lakukan rawatan berbarut ini selama dua minggu berturutan walaupun masih terasa jahitan pembedahan.

Selepas ini selama dua minggu yang berikutnya perketat ikatan barut atau binder. Selepas empat minggu bolehlah digunakan barut dan sapuan ubat bersalin secara normal. pakai barut itu selama dua minggu iaitu hingga hari ke 44. Boleh juga digunakan barut sehingga 100 hari.

Tujuan berbarut adalah untuk membantu mempercepatkan proses mengecutkan rahim dan memecahkan angin lendir bertoksik. Selain itu, ketulan darah nifas dapat dikeluarkan dengan sempurna. Dengan cara ini, ibu bersalin pembedahan akan dapat mengelakkan daripada terasa sengal atau pedih di bahagian luka jahitan, ketegangan pada bahagian pelvis dan ngilu atau sengal apabila berjimak selepas tempoh berpantang kelak.

Tanpa rawatan ini, ibu-ibu bersalin secara pembedahan mudah mengalami keadaan perut buncit dan menggeleber serta berasa sakit atau lenguh di bahagian pinggang atau pinggul sehingga boleh melarat ke bahagian betis dan tumit. Jikalau dibiarkan dengan hanya rawatan moden, iaitu diberi suntikan dan ubat penahan sakit, lazimnya penyakit tersebut akan berulang kembali pada hari kemudian.

Ini mudah dijelaskan kerana suntikan dan ubat penahan sakit hanya menahan atau melegakan rasa sakit buat seketika atau merawat tanda-tanda penyakit, dan bukan merawat punca yang sebenarnya. Sebaliknya penyakit yang sedia ada itu akan melarat ke bahagian lutut serta pinggang, yang menandakan keadaan sudah menjadi lebih serius. Keadaan ini mengganggu pergerakan fizikal dan seterusnya mempercepat penuaan sebelum masa. Penyebab penyakit ini berpunca daripada ketegangan dan pembengkakan di bahagian urat peranak, ari-ari dan celahan paha.